Cari Blog Ini

MEMINTA PERLINDUNGAN PADA JIN

Allah ta’ala telah berfirman yang bermaksud:
“Dan bahawasannya ada beberapa orang laki-laki dikalangan manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki dikalangan jin, maka jin-jin itu itu menambah dosa bagi mereka” [al-Jin : 6].
Imam Ibnu Katsir rahimahullah berkata : Kami (jin) berpendapat bahawa kami mempunyai keutamaan ke atas manusia, kerana mereka berlindung kepada kami. Iaitu, ketika mereka turun ke lembah atau di daratan atau tempat lainnya, seperti kebiasaan orang Arab pada zaman Jahiliyyah, sebahagian mereka meminta perlindungan kepada penguasa tempat itu yang berupa jin agar tidak tertimpa sesuatu yang membahayakan mereka. Ketika jin telah mengetahui bahawa manusia berlindung kepadanya lantaran ketakutan mereka kepada jin, maka jin-jin itu membuatnya semakin takut. Maksudnya : takut, rasa terancam, dan bingung, sehingga mereka terus semakin takut dan semakin berlindung kepada mereka”
Itulah yang dilakukan oleh jin kafir yang sentiasa berusaha menjerumuskan manusia kepada kesyirikan. Jika manusia meminta bantuan kepada jin, maka hal itu akan membuat jin semakin sombong. Mereka beranggapan bahawa bangsa jin lebih tinggi kedudukannya dibandingkan manusia, sama seperti anggapan Iblis kepada Adam di awal penciptaan.
Allah telah memerintahkan manusia untuk hanya berlindung kepada-Nya. Tidak kepada selain-Nya. Banyak ayat Al-Quran yang memerintahkan kepada kita ber-isti’adzah (meminta perlindungan) hanya kepada Allah semata.
Di antaranya adalah : “Dan jika syaitan mengganggumu dengan satu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” [Fushilat : 36].
Katakanlah : “Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai subuh”
[Al-Falaq: 1].
Katakanlah : “Aku berlindung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia” [an-Naas : 1].
Tidak ada satu pun maslahat ataupun mudarat yang terjadi di dunia melainkan dengan izin dan kehendak Allah. Oleh itu, kita semestinya meminta maslahat dan berlindung dari mudarat hanya kepada Allah. Adapun makhluk-makhluk lainnya, seperti juga jin, maka ia adalah lemah. Tidaklah dapat memberikan sesuatu kecuali dengan izin dan kehendak Allah.
Mulla Ali Al-Qari rahimahullah berkata : “Tidak boleh beristiadzah (meminta perlindungan) kepada jin. Allah telah mencela orang-orang kafir kepadanya. Allah ta’ala telah berfirman : ‘Dan (ingatlah) hari di waktu Allah menghimpun mereka semuanya, (dan Allah berfirman) : “Hai segolongan jin (syaitan), sesungguhnya kamu telah banyak (menyesatkan manusia”. Lalu berkatalah kawan-kawan mereka dari golongan manusia : “Ya Tuhan kami, sesungguhnya sebahagian dari kami telah mendapat kesenangan dari sebahagian (yang lain) dan kami telah sampai kepada waktu yang telah Engkau tentukan bagi kami”. Allah berfirman :“Neraka itulah tempat kediaman kamu, sedang kamu kekal di dalamnya, kecuali kalau Allah menghendaki (yang lain). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui’ (al-An’aam : 128).
Kesenangan manusia dari jin adalah kerana tercapai hajatnya, terlaksana perintah-perintahnya, dan pemberitaan jin untuknya tentang sesuatu yang ghaib. Kesenangan jin dari manusia adalah kerana manusia mengagungkannya, berlindung, dan tunduk kepadanya”. [Fathul-Majid fii Syarhi Kitaabit-Tauhid karya Asy-Syaikh Abdurrahman bin Hasan Alu Syaikh rahimahullah, Maktabah Taufiqiyyah, halaman 153-154].
Wallahu alam.

Ditulis Oleh : Unknown // 19.44
Kategori:

0 komentar:

Posting Komentar

 
Diberdayakan oleh Blogger.