TIDAK
SEMUA YANG TERZAHIR KEKERAMATANNYA ITU SEMPURNA PANGKAT KEWALIANNYA.
Orang yang kerohaniannya belum cukup mantap
suka meninjau keadaan dirinya sendiri untuk melihat kalau-kalau terdapat
tanda-tanda kekeramatan padanya. Kekeramatan yang dimaksudkan adalah kebolehan
luar biasa yang tidak dapat dilakukan oleh orang ramai, misalnya berjalan
di atas air, tidak basah ditimpa hujan, dalam sekelip mata boleh berada
di Makkah, doa cepat makbul dan lain-lain. Jika dia melihat tanda-tanda
yang seumpama itu ada pada dirinya dia merasakan telah berjaya dalam perjuangannya.
Orang yang beranggapan begini kurang
mengerti tujuan perkara luar biasa yang berlaku ke atas dirinya. Perkara
seperti itu bukanlah peristiharan bahawa dia sudah cukup bersih dan sudah
menjadi wali yang agung. Perkara seperti ini adalah alat untuknya mengenal
kekuasaan Allah s.w.t yang tidak terikat pada hukum sebab akibat, tidak
dikongkong oleh ikhtiar makhluk. Kekeramatan adalah pengenalan kepada sifat
Berdiri Dengan Sendiri, Berkehendak dan Berkuasa melakukan apa sahaja tanpa
ditekan oleh sesiapa dan tanpa disebabkan oleh sesuatu sebab. Allah s.w.t
tidak ditakluki oleh sempadan sebab musabab. Sebab musabab mengongkong
kekuasaan dan kekuatan makhluk tetapi tidak memberi bekas kepada kekuasaan
dan kekuatan Allah s.w.t. Sebab musabab menjadi dinding yang tebal menghalang
manusia dari melihat kepada kekuasaan dan keagungan Allah s.w.t. Jika seseorang
ingin menghampiri Allah s.w.t dinding tersebut perlu dirobohkan. Dia tidak
boleh bersandar kepada sebab musabab untuk mengeluarkan akibat. Sebab dan
akibat tidak terjadi dengan sendirinya. Kudrat dan Iradat Allah s.w.t yang
melahirkan sebab dan akibat juga.
Sebab-sebab adalah utusan yang membawa
perintah Allah s.w.t. Sungguh tidak wajar kiranya dalam menerima perintah
perhatian hanya ditujukan kepada utusan tidak kepada Empunya perintah.
Bagi menyedarkan hamba-hamba tentang keperkasaan Yang Empunya perintah,
kadang-kadang dicabut kesan daripada sebab. Kesan membakar dicabut dari
api apabila Nabi Ibrahim a.s memasukinya. Proses pembiakan dikejutkan apabila
Nabi Isa a.s dilahirkan tanpa percampuran ibu dan bapa. Hukum alam semula
jadi dirombak apabila Nabi Musa a.s membelah laut dengan tongkat beliau
a.s dan Nabi Muhammad s.a.w mengeluarkan air dari jari-jari baginda s.a.w.
Kejadian-kejadian yang seperti disebutkan itu menjadi ledakan yang kuat
meruntuhkan benteng sebab-akibat agar para hamba dapat melihat dengan jelas
akan Kudrat dan Iradat Allah s.w.t yang menguasai dan mengatur segala-galanya.
Demikian juga peranan kekeramatan yang berlaku kepada orang-orang tertentu.
Kekeramatan merupakan pendidikan kerohanian dalam mengenal Allah s.w.t
agar hati meyakini sungguh-sungguh kepada Allah s.w.t sebagai Rab (Tuhan)
sekalian alam. Orang yang padanya terzahir kekeramatan akan melihat dengan
jelas akan ketuhanan Allah s.w.t yang menguasai sekalian alam dan dia dapat
menghayati maksud:
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah s.w.t.
Tidak ada daya dan upaya melainkan
apa yang didayakan dan diupayakan oleh Allah s.w.t. Kekeramatan menjadi
pasak yang meneguhkan bangunan iman. Dia tidak lagi ragu-ragu terhadap
jaminan Allah s.w.t.
Kekeramatan yang mengangkat darjat
seseorang boleh menjadi ujian yang menghalang perkembangan kerohanian orang
lain. Orang yang terpesona melihat kekeramatan yang terzahir dari dirinya
merasakan dirinya sudah berada pada kedudukan yang tinggi lagi mulia. Kekeramatan
menambahkan rasa taasub kepada diri sendiri dan memperbesarkan keegoan
dirinya. Ini menyebabkan proses penyucian hatinya terbantut. Kegagalannya
melihat rahsia Kudrat dan Iradat Allah s.w.t menebalkan hijab dirinya dengan
Allah s.w.t dan tidak bertambah kekuatan tauhidnya.
Orang yang dirinya benar-benar suci
bersih dapat menyelamatkan dirinya dari fitnah kekeramatan. Kekeramatan
boleh terjadi pada dirinya tetapi tidak mengalihkan pandangan mata
hatinya daripada Allah s.w.t. Kekeramatan membuka pintu ghaib kepadanya
untuk melihat rahsia kekuasaan Tuhan pada penciptaan dan aturan-Nya. Apa
sahaja yang diciptakan Allah s.w.t dan ditadbir-Nya adalah luar biasa dan
merupakan kekeramatan.
Arasy adalah luar biasa dan semut
juga luar biasa. Bintang dilangit adalah luar biasa dan kelip-kelip juga
luar biasa. ‘Adam (yang tidak ada) tiba-tiba menjadi ada, sungguh luar
biasa sekali kekuasaan Allah s.w.t. Seluruh alam maya ini adalah luahan
kekeramatan yang luar biasa yang hanya Allah s.w.t sahaja yang mampu
berbuat demikian. Dia adalah Allah s.w.t, yang tidak ada Tuhan kecuali
Dia!
0 komentar:
Posting Komentar