Bahkan dengan kemampuannya dalam menempuh perjuangan 'melawan diri
sendiri' dan seterusnya tenggelam dalam 'telaga cinta Ilahi', dinilai
oleh kalangan sufi telah melampau 100 darjat orang soleh daripada
kalangan lelaki.
Rabiah al-Adawiyyah termasyhur kerana pengalaman spiritualnya, iaitu mahabah atau penyerahan diri total kepada Allah SWT. Pengalaman ini diperoleh bukan melalui guru tetapi daripada dirinya sendiri.
Jika sebelumnya ahli hadis dan fikh, Hasan al-Basri telah merintis
kehidupan zuhud berdasarkan rasa takut dan harapan, maka Rabiah
melengkapinya dengan cinta kepada Tuhan. Cintanya kepada Allah SWT telah
memenuhi seluruh jiwa raganya. Tidak menyisakan tempat di hatinya untuk
mencintai sesuatu selain Allah.
Bagi Rabiatul Adawiyah, dorongan mahabah berasal daripada dirinya sendiri dan juga kerana hak Allah SWT untuk dipuja dan dicintai. Puncak pertemuan mahabah antara hamba dan cinta kasih Allah SWT yang menjadi akhir keinginan Rabiah.
Rabiah yang berparas cantik, memiliki suara merdu dan pandai menari
ini ditugaskan oleh tuannya sebagai penghibur. Setelah belasan tahun
menjadi penghibur, suatu hari ketika menyanyi, Rabiah merasakan
kedekatannya dengan Allah SWT yang seolah-olah memanggilnya.
Sejak itu, dia menolak semua perintah tuannya untuk menyanyi dan
menari sehingga tuannya marah. Bahkan menyeksanya. Namun, Rabiah tetap
berdoa kepada Allah.
Maka Rabiah telah dijual kepada seorang sufi yang kemudian
mengajaknya bernikah. Rabiah menolaknya kerana cintanya hanya kepada
Allah SWT. Setelah dibebaskan, Rabiah memutuskan untuk hidup menyendiri.
Cinta Rabiah kepada Allah SWT merupakan cinta suci, murni, dan sempurna seperti disenandungkan dalam syair ini: Aku
mencintaimu dengan dua cinta; cinta kerana diriku, dan cinta kerana
diri-Mu. Cinta kerana diriku adalah keadaanku yang sentiasa mengingat-Mu
yang mengungkapkan tabir, sehingga Engkau kulihat. Baik untuk ini,
mahupun untuk itu, pujianku bukanlah bagiku; bagi-Mulah pujian untuk
semuanya. Buah hatiku, hanya Engkaulah yang kukasihi, berilah keampunan
pembuat dosa yang datang ke hadrat-Mu. Engkaulah harapanku,
kebahagiaanku, dan kesenanganku, hatiku enggan mencintai selain Engkau.
Rabiah mencurahkan seluruh hidupnya untuk mendekatkan diri kepada
Allah SWT. Kerana itu, dia memilih hidup zuhud agar bebas daripada
segala rintangan dalam perjalanan menuju Tuhan. Dalam pandangannya,
kenikmatan duniawi adalah hambatan menuju Tuhan.
Dia pernah memanjatkan doa: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu
daripada segala perkara yang menyibukkanku sehingga aku tidak sempat
menyembah-Mu dan daripada segala rintangan yang merenggangkan hubunganku
dengan-Mu."
Perkahwinan baginya adalah rintangan. Dia menerima banyak lamaran
untuk bernikah tetapi menolak kesemuanya. Mengenai cinta kepada Nabi
Muhammad SAW, dia berkata: "Aku cinta kepada Nabi SAW tetapi cintaku
kepada Khalik (Maha Pencipta) memalingkan perhatianku daripada cinta
kepada makhluk (segala ciptaan)."
Rabiah sang pencinta agung itu, mencintai Tuhan bukan kerana naluri
kewanitaannya. Dia mencintai Tuhan dengan sepenuh jiwanya. Dia mencintai
zat-Nya, sifat-sifat-Nya. Ia bertafakur, berzikir, juga suntuk memaknai
segala sesuatu tentang Kekuasaan dan Kebesaran-Nya sehingga tidak ada
ruang sedikit pun dalam dirinya untuk berfikir selain Dia.
Rabiah merelakan dirinya menjadi 'gadis abadi'. Dia tidak ingin
bernikah bukan lantaran tidak ada yang meminangnya, dia memilih
'kegadisan abadi' kerana tidak tertarik dengan kenikmatan hidup duniawi.
Ketika Rabiah ditanya: "Kenapa engkau tidak bernikah, wahai Rabi'ah?"
Dia menjawab: "Tidak ada tempat di hatiku kecuali untuk Kekasih
Sejati."
Rabiah menyembah Tuhan dengan penuh cinta dan kerinduan, yang sulit
untuk dijabarkan melalui pena, diungkapkan melalui pemahaman.
Dalam pandangan Rabiah, cinta pada galibnya adalah kehidupan spiritual, cinta berasal daripada Allah dan untuk Allah.
Terilham rasa kasih yang dalam akan nasib kaumnya, Rabiah cuba meluruskan pandangan 'ubudiyyah mereka dengan bait syair:
"Mereka menyembah-Mu hanya kerana takut akan neraka-Mu
Kemenangan dan keselamatan bagi mereka
Adalah apabila terbebas daripada (niat seperti) itu.
Bagiku, masalahnya bukanlah pada syurga atau neraka-Mu
Aku tidak rela (Kau) Tuhanku diganti sembahan yang lain."
Apa yang ingin ditegaskan Rabiah di sini adalah (bahawa) perilaku
cintanya kepada Allah adalah tulus, jujur dan murni, demi dan untuk-Nya
semata-mata tanpa kepentingan apa pun kecuali mengharap reda-Nya.
Rabiah tidak ingin seperti yang lain, yang meniatkan sembahannya
untuk tujuan dan keinginan tertentu, terlebih menghindarkan diri
daripada sesuatu.
Cinta Rabiah adalah cinta kepada zat-Nya, dan kerinduannya adalah rindu pada sifat-sifat-Nya.
Dalam hal ini Rabiah telah jauh keluar orbit, menembus dimensi ruang
dan waktu, dari epos sembahan kaumnya. Dia telah memfokuskan kepada satu
titik Ilah (sembahan yang satu) yang patut dicintai.
Apa yang ia sosialisasikan dengan ritual ibadah murni adalah sebuah
perilaku cinta dengan penyerahan dan kepasrahan yang tulus, jauh
daripada rasa takut.
Allah berfirman yang bermaksud: …Barang siapa mengharapkan
perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang
solih, dan janganlah mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada
Tuhannya. (al-Kahfi: 110)
Makna sufistik ayat di atas bagi Rabiah adalah, (bahawa) hendaknya
seseorang jangan menyekutukan Allah dalam ibadahnya dengan berharap
syurga-Nya atau agar terselamat dari neraka-Nya.
Seorang penulis riwayat hidup Rabiah yang berasal dari Parsi
mengisahkan kematiannya sebagai berikut: "Pada masa menjelang akhir
hayatnya, banyak sekali orang alim duduk mengelilinginya. Rabiah meminta
kepada mereka, "Bangkit dan keluarlah, berikan jalan kepada
pesuruh-pesuruh Allah Yang Maha Agung!"
Maka semua orang bangkit dan keluar dan pada saat mereka menutup
pintu, mereka mendengar suara Rabiah mengucapkan kalimat syahadat dan
mereka mendengar sebuah suara, "… Wahai jiwa yang tenang, kembalilah
kepada Tuhanmu, berpuas-puaslah dengan-Nya. Maka masuklah bersama
golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam Syurga-Ku." (al-Fajr: 27-30)
Sesudah itu, tidak terdengar lagi suara apa pun. Pada ketika orang
itu masuk kembali ke bilik itu, Rabiah sudah meninggalkan dunia fana.
Sesudah Rabiah menghembuskan nafas terakhir, segera para doktor yang
berdiri di hadapannya meminta agar jasad wanita sufi ini segera
dimandikan. Setelah jenazah wanita sufi itu dimandi dan dikafankan,
mereka bersama-sama melaksanakan solat jenazah dan mengkebumikan jasad
itu di tempat yang dia akan berada di sana selama-lamanya.
0 komentar:
Posting Komentar